kursus

kursus
<




Tuesday, October 7, 2008

Petani era modenisasi...

Sekiranya anda telah membuat keputusan untuk memilih cendawan sebagai pilihan kerjaya anda yang utama atau sampingan apa yang perlu anda fikir adalah seperti berikut:

a. Modal - Pastikan anda mempunyai modal yang bukan hanya cukup-cukup, tetapi lebih dari itu. Paling kurang 50% lebih dari modal awal. Contoh, sekiranya modal permulaan perniagaan anda ialah RM30,000, pastikan anda mempunyai lebihan tunai sebanyak RM15,000 sebagai sokongan sekiranya sesuatu berlaku pada perniagaan anda. Elakkan bergantung kepada pinjaman bank untuk permulaan projek kecualilah anda berniat untuk menjalankan projek ini sebagai pendapatan tambahan selain dari kerjaya sediaada.

b. Tempat - Pilih tempat yang sesuai. Jangan pilih tempat main tangkap muat sahaja. Bukan kerana sewanya rendah, atau tanah sendiri, atau tiada pilihan. Pemilihan tempat adalah faktor yang paling penting kerana cendawan teramat sensitif kepada keadaan persekitaran. Pilih kawasan yang bersih, tiada pencemaran, jauh dari tempat pembakaran, banyak pokok-pokok, redup dan yang paling penting ia tidak kotor.

c. Pembekal Bahan Mentah- Cari pembekal yang boleh dipercayai. Lebih-lebih lagi soal benih. Hanya kerana harga yang murah, sekali ia rosak, ia akan menyebabkan kerugian yang teramat tinggi. Berpuluh kali ganda dari harga benih. Rajin bertanya kepada pengusaha cendawan yang lain. Mana benih yang baik dan mana yang tidak baik. Beli pada kuantiti yang sedikit sekiranya benih dibeli dari pembuat benih baru. Sebaiknya minta sampel percuma dan cuba. Selepas itu baru beli pada kuantiti yang banyak. Perlu SANGAT BERHATI-HATI dalam soal BENIH ni... dah ramai yang terkena. Pembekal biasanya tidak mahu bertanggungjawab.

d. Pekerja - cari pekerja yang benar-benar ingin bekerja. Dan jangan sekali-kali terasa mampu menjalankannya bersendirian. Apatah lagi kalau kita jauh dari keluarga dan tiada saudara mara. Ia memang amat-amat memenatkan. Kecuali lah kita sudah berkeluarga, dekat dengan saudara-mara. Pastikan pekerja juga orang yang tahan lasak. Pekerja lelaki adalah lebih baik dari pekerja perempuan kerana mereka lebih mampu melakukan kerja berat. Atau bahagikan tugas yang berat seperti bagging untuk lelaki dan tuaian hasil/pembungkusan untuk wanita. Wanita pun nak kerja jugak. Tiada diskriminasi. Tapi kalau guna mesin perkara ni tak jadi masalah besar.

e. Kerosakan/kerugian/serangan penyakit - Anggaplah satu musim yang pertama sebagai ujian. Dan sematkan dalam hati kalau gagal sekalipun takpe, boleh cuba lagi. Cendawan adalah tumbuhan yang teramat sensitif. Kerosakan adalah perkara biasa untuk sesetengah tempat. Sebab itu faktor (b) adalah sangat penting. Dan faktor (a) perlu sebagai sokongan. Pernah dengar tak ayat ni, "Kerugian yang dialami oleh sesuatu perniagaan pada tahun pertama pengoperasiannya masih tidak di kira rugi"? Ia adalah perkara biasa. Tetapi janganlah tidak perlu rasa apa-apa kalau perniagaan ita rugi. Pasti ada sesuatu yang tidak kena.

f. Buat Kajian - Kajian atau research dalam BInya adalah perkara penting dalam penanaman cendawan. Kesesuaian formulasi juga bergantung kepada keadaan persekitaran yang berkaitan langusng dengan tempat atau lokasi projek. Cuba gunakan kaedah terkini. Kaji kesesuaiannya dan gunakan sekiranya ia berkesan. Teknologi terkini adalah penambaikan dalam pertanian. Tetapi kadang-kadang tidak semua tempat sesuai dengan teknologi baru. Buat pilihan yang terbaik mengikut kesesuaian.

g. Langkah Berjaga-Jaga - Jangan tunggu sehingga kita ditimpa masalah baru kita ingin membuat perubahan atau menitik-beratkan perkara yang penting terutamanya tentang prosedur yang paling berkesan dan baik untuk penanaman cendawan. Ikutinya dari awal. Banyakkan membaca dan bertanya.

h. Buat Lawatan Sambil Belajar - Tidak salah kita ke tempat orang untuk melawat. Pergi lah ke beberapa pengusaha cendawan yang menjalankan projek mereka di lokasi yang berlainan latar belakang. Tanya masalah utama mereka. Ramai yang datang selalu bertanya soal keuntungan, berapa pendapatan syarikat, itu soal yang agak sensitif. Boleh bertanya tapi cuba kira sendiri dari hasil pengeluaran cendawan sebulan mereka. Yang paling penting anda tanya bila membuat lawatan adalah masalah-masalah yang pernah mereka alami dan cara mereka mengatasinya. INGAT, cendawan adalah tumbuhan yang sensitif. Keuntungan itu penting, tetapi kalau ia terkena penyakit, untung itu entah ke mana.

h. Pasaran - Ramai yang punya dana yang cukup untuk menjalankan projek ini. Ada tempat. Tiada masalah apa-apa pun untuk bermula. Tetapi sesuatu yang selalu dirisaukan adalah pasaran. Kita jangan menunggu pasaran mencari kita, tetapi kita mencari pasaran. Boleh tanya kedai-kedai runcit, restoran, pasar atau pun kita mulakan dengan Ladang Kontrak atau Contract Farming. Harganya rendah tetapi cukup untuk permulaan. Tidak pun, tanya pengusaha-pengusaha lain. Pasti mereka akan membantu kita kalau tidak banyak sedikit.

i. Hubungan Dengan Agensi Berkaitan- Cuba jalinkan hubungan yang baik dengan agensi-agensi berkaitan. Bukan dengan tujuan hanya untuk kita meminta bantuan kewangan. Tetapi sebagai tempat kita mendapatkan teknologi terkini, khidmat nasihat atau lain-lain yang berkenaan. Kalau tidak hari ini mereka membantu kita, pasti di masa depan ada sesuatu manfaat yang boleh kita perolehi.

j. Hubungan/Jaringan Antara Pengusaha - Mereka adalah saingan kita. Tetapi itu bukannya faktor untuk kita tidak menjalinkan hubungan yang baik bersama mereka. Sebenarnya merekalah yang boleh membantu kita. Saling berkongsi pengalaman, bersama-sama mencari pembekal yang berkualiti, murah serta sumber kita mendapatkan pembeli atau pemborong hasil tanaman kita. Tetapi bukan setiap masa kita hendak bergantung kepada mereka. Usaha sendiri adalah lebih penting. Namun jaringan ini banyak manfaatnya.

Setakat itu dahulu sedikit sebanyak yang mampu saya kongsi bersama pembaca. 10 tips dan panduan untuk memulakan projek dan selepas projek berjalan. Niat saya, suatu hari nanti adalah untuk menerbitkan buku panduan tentang ini. Ada rezeki saya ingin jalankan kajian yang menyeluruh bagaimana cara atau langkah untuk mengurangkan serangan penyakit kepada cendawan. Kerana saya sudah mengalami bagaimana teruknya sekiranya serangan penyakit berlaku kepada tanaman kita. Ini adalah perkara penting yang selalu menjadi masalah besar kepada pengusaha baru yang tiada pengalaman. Kalau tidak saya pun yang menjalankan kajian tersebut, mungkin ada di antara pelajar-pelajar universiti yang membaca tulisan saya mendapat sedikit idea untuk kajian projek master mereka. Saya akan memberikan kerjasama untuk tujuan itu. Semoga apa yang saya coretkan boleh dijadikan sedikit panduan bagi semua yang berminat untuk mengusahakan projek ini di masa depan.



Satu perkara lagi, LAKSANAKANLAH PROJEK INI KERANA MINAT DAN KESUNGGUHAN BUKAN KERANA IKUT-IKUTAN DAN KEUNTUNGANNYA SAHAJA...

Taken from

Usahawantani Cendawan-Fatisha Agro Farm

No comments: